Chapter 1 : Angan dan Perbualan

Gambar 1 : Basikal Touring
Pengembaraan berbasikal, merupakan satu angan yang sentiasa bermain di fikiran. Berbasikal mengelilingi dunia? Apa yang nak dibuktikan lagi, ramai dah buat. Banyak beza antara kembara menaiki kenderaan berinjin seperti kapal terbang, kereta mahupun motorsikal dengan kembara berbasikal atau berjalan kaki. Ada perkara yang mungkin kita terlepas pandang jika kita bergerak terlampau laju.
Maka sebuah cerita bermula,

Ibnu: Am jom kita naik beskal? Kita pi Chiang Mai!
Am: Jom! Bereh jer. Uda pun sambil kayuh boleh turunkan berat badan.
Ibnu: Betul jugak tu.
Am: Uda ada basikal?
Ibnu: Takda.
Am: Elok la tu, sama lah kita. Ada pun basikal bapak Am tersadai kat rumah jadi perhiasan berzaman.

Entah bagaimana aku boleh setuju dengan cadangan beliau tanpa banyal soal. Mungkin konon kental sangat, poyo outdoor lah sangat. Uda merupakan panggilan manja Ibnu oleh sahabat-sahabat rapat beliau semasa belajar di kolej dahulu. Perbualan ini bermula semasa aku bertemu Ibnu di Ipoh. Masa tu aku tengok badan Ibnu dah naik semenjak beliau kurang 'mendaki gunung', mungkin terus tak bersukan sejurus tamat kolej.

Dalam benak fikiran aku, Chiang Mai ni tak jauh sangat dengan Malaysia. Lepas masuk border Thailand, mungkin atas sikit pada Krabi kot? Mungkin. Aku tak fikir banyak, keputusan dibuat tanpa berfikir panjang semata-mata nak beri semangat pada sahabat untuk kembali aktif. Kalau rancangan ini boleh kuruskan beliau, aku dah banyak puas hati.

Selang beberapa bulan kemudian,

Am: Uda! Ko tau tak berapa jauh Chiang Mai daripada Malaysia ni?
Ibnu: Tau. Uda dah check dalam Google Map.
Am: 2000 km! Gila jauh!
Ibnu: Memang jauh pun, lebih kurang sebulan nak sampai.

Selepas dapat tahu jarak antara Ipoh ke Chiang Mai, aku termenung sekejap. Panjang rupanya Thailand. Aku ingat tak berapa besar sangat. Seingat aku, jarak paling jauh aku berbasikal adalah sekitar 1 kilometer daripada rumah. Itu pun entah zaman bila aku berkayuh.

Am: Basikal dah ada?
Ibnu: Belum. Tengah cari-cari lagi.

Inilah kami. Perangai daripada dulu sampai sekarang tak berubah. Kalau dulu nak naik gunung tak pernahnya ada perancangan awal. Semuanya secara spontan, terdetik je nak daki gunung pasti terus tanpa banyak soal. Apa yang ada disambar cukup sekadar lepas makan minum dan kos pengangkutan.

Am: Cari cepat-cepat basikal tu. Nanti boleh training sebelum kita gerak. Am ni harap ada basikal je kat rumah. Tapi hari-hari dok tengok je basikal tu bersidai. Tak buat satu apa pun lagi.

Ibnu gelak sahaja mendengar bebelan aku. Malas sungguh nak baiki basikal LeeRun kepunyaan bapak aku ni, Basikal ni sebenarnya sudah beberapa kali melalui proses transformasi.

Comments

Popular Posts